Friday, July 31, 2009

Ismail Juara Catur Polis Dunia

SATU LAGI ARTIKEL YANG MENARIK PERHATIANKU DARI AKHBAR UTUSAN MALAYSIA...

Bila kita sebut world champion, sudah tentu terlintas kepada Dato' Lee Chong Wei, Roger Federer dan sebagainya. Mudah sahaja kesimpulannya, kejayaan yang amat hebat dan patut dibanggakan bersama untuk menjadi Juara Dunia bagi sesuatu pertandingan. Syabas kepada pencatur tanahair kita, Sarjan Ismail Ahmad.

Petikan artikel dari Utusan Malaysia:

Tugas sebagai pegawai dan anggota polis memang sering dihambat masa menyebabkan mereka mengurangkan atau melupakan terus aktiviti masa lapang yang seiring dilakukan sebelum menyertai pasukan itu.

Jika sebelum menjadi polis bermain bola sepak, mendaki gunung, bermain badminton, catur, dam dan sebagainya merupakan rutin harian atau pada hujung minggu.

Tetapi setelah melangkahkan kaki ke dalam pasukan pasukan beruniform biru, semua terpaksa dilupakan buat sementara. Namun begitu, menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah satu pengakhiran kepada semua aktiviti tersebut.

Walaupun masa sering mencemburui mereka, namun bagi sesetengah individu yang sudah lama melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti itu, masa yang terhad digunakan sebaik mungkin. Bagi mereka, ia seperti nadi dan tidak lengkap hidup jika mereka tidak melakukannya.

Bagi segelintir individu yang tidak mahu menyertai PDRM kerana menganggap ia penghalang kepada minat mereka, buang jauh-jauh pemikiran itu. Walaupun hakikatnya, pasukan polis tidak pernah menghalang malah memberi sokongan penuh kepada kakitangannya yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan riadah.

Ini dapat dibuktikan dengan penglibatan pasukan PDRM dalam pelbagai kejohanan sukan di dalam dan luar negara. Peluang itu digunakan sebaik mungkin. Kesibukan tugas seharian tidak pernah menghalang mereka melakar kejayaan cemerlang dalam aktiviti yang diceburi.

Bagi, Sarjan Ismail Ahmad, 44, sepanjang menceburi bidang kepolisan ini, PDRM tidak pernah menghalang minatnya untuk melibatkan diri dalam arena sukan dan rekreasi. Malah beliau sendiri juga tidak sedar, terdapat banyak kemudahan dan usaha menonjolkan bakat dalam kerjaya kepolisan, salah satunya permainan catur.

Hasil sokongan PDRM itulah, kini hampir 23 tahun beliau menyertai permainan catur dan telah memenangi pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara. Menyingkap penglibatan awal dirinya dalam permainan itu, beliau mempunyai cerita tersendiri. Menurut Ismail, beliau mula berkecimpung dengan permainan catur apabila didorong dengan perasan bosan ketika bersendirian. Katanya, bagi menghilang perasaan itu, beliau sering bermain dengan rakan-rakan pada waktu lapang.

“Dan setiap kali saya bermain kemenangan selalu memihak kepada saya dari situ timbul minat untuk melibatkan secara aktif dalam permainan ini,” jelasnya.
Menurut Ismail lagi, beliau gembira sekali kerana selain layak menjadi polis, cita-cita untuk mengasah bakat dalam permainan catur diimpikan selama ini tercapai. Bermula dari situ, beliau yang bertugas di Bahagian Latihan, Batalion 4, Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), sentiasa menghabiskan masa dalam membaca buku-buku dan melayari Internet yang ditulis oleh para Grand Master catur dunia.

Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit akhirnya dibayar nilai setimpal apabila Ismail banyak memenangi banyak pertandingan dan kejohanan yang disertainya. Antaranya ialah Terbuka Indonesia 1997, Chess Olimpiad Elista 1998, Individu Jonal Tehran 1998, Juara Master Melayu 1999, Chess Olimpiad Turki 2000, Naib Johan Kebangsaan 2001 dan Terbuka Asian-Brunei.

Beliau juga meraih kemenangan di Chess Olimpiad Slovenia 2002, Sukan SEA 2003, Juara Selangor, Juara Team Merdeka, Juara Dunia Polis di Sepanyol 2003, juara dua kejohanan di Amerika Syarikat pada 2004.

Berdasarkan kejayaan dan pengalaman luar itu, pemilihannya sebagai jurulatih pasukan catur Malaysia pada Sukan SEA 2005 di Filipina adalah pilihan yang tepat. Kemuncaknya Ismail menjuarai Pertandingan Terbuka Catur Sedunia Angkatan Tentera Amerika Syarikat pada tahun 2004 yang melibatkan pasukan beruniform dari seluruh dunia.

Pengiktirafan itu turut menaikkan nama PDRM bahawa para anggotanya bukan sahaja siap sedia mengawal keselamatan malah masih mampu mengharumkan nama negara. Katanya, kemenangan itu mengejutkan negara-negara lain apabila pasukan catur elit PDRM Malaysia menang dalam pertandingan tersebut dan di luar jangkaannya sama sekali.

“Saya berjaya mengharumkan nama PDRM dan negara ini di peringkat antarabangsa, memang sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Kejayaan dan pengalaman itu merupakan kenangan manis bagi saya,” ujarnya.

Lebih membanggakan Ismail apabila sepanjang penglibatan dalam permainan catur ini beliau berjaya menewaskan pemain-pemain catur terkemuka dunia. Di atas kejayaan itu, Ismail dianugerahkan Pingat Darjah Bentara Pasukan (BPP) Polis daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2004.

Menurut Ismail selaku pemain catur PDRM, walaupun kesuntukan masa berlatih, namun masa terluang beliau gunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan mutu permainan.

“Saya bersyukur pengorbanan itu membuahkan hasil di luar jangkaan saya sendiri,” kata Ismail yang pernah menjuarai Kejohanan Catur Polis Dunia 2003 di Sepanyol. Ismail yang sebelum ini pernah kini mengikuti Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak Kuala Lumpur berkata, untuk menjadi pemain catur yang hebat soal disiplin perlu ditekankan.
“Disiplin yang baik akan menentukan hebatnya seseorang pemain dalam sukan ini.

“Malah minat yang mendalam terhadap sukan ini merupakan pendorong dan aset pada setiap kejayaan yang diperoleh,” terangnya.

Kata Ismail, beliau amat bertuah kerana pihak pengurusan PDRM amat memahami dan sentiasa memberi kelonggaran kepada dirinya jika ada sebarang pertandingan yang disertai. Ismail berkahwin dengan Halimah Ahmad, 44, dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Berikut adalah salah satu Game Sarjan Ismail menentang Mr Saprin Sabri (another strong player in Malaysia). Dipetik dari blog Hairulov.


OGOS bulan pertandingan catur?

Dari pemerhatian CBS, bulan Ogos adalah bulan paling sibuk dengan aktiviti catur di Malaysia. Mungkin juga kehadiran bulan kemerdekaan sekali setahun di sambut dengan perjuangan pencatur-pencatur tanahair. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita masih tidak ketandusan dengan aktiviti catur. Bermula pada 1 dan 2 Ogos 2009, Kejohanan Temerloh Open akan dijalankan. Untuk maklumat lanjut sila klik di website Terengganu Chess.

Tidak kurang hebatnya dengan Tertutup Kelantan (Pada 1 Ogos 2009) yang dianjurkan oleh pihak Mara, khas buat pencatur Kelantan, lahir atau menetap atau paling tidak boleh berkecek Kelantan. Badbishops menyediakan butir-butir pertandingan yang lengkap.

Seminggu selepas itu, di Kuantan, akan berlangsung pula 2nd Kuantan Master Rapid Open 2009 pada 8 Ogos 2009 bertempat di Dewan SMK Sungai Soi. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada otai Kuantan Chess Blogger, Setia Chess. Dan di Johor, pada 9 Ogos 2009, di Plaza Pelangi, akan berlangsung Kejohanan Tebrau Open 2009. KECAS-UTM telah menyediakan banner dan maklumat mengenai kejohanan ini.

Dan sekali lagi, Terengganu Chess mengumumkan pertandingan Dungun Open yang akan berlangsung di Dewan Jasmin, UiTM Dungun pada 14 dan 15 Ogos 2009. Ini bermakna, pencatur pantai timur berpeluang untuk menyertai banyak pertandingan catur dalam masa dua tiga minggu tersebut. Bagi pencatur di Perak, berita baik buat mereka kerana pada 16 Ogos 2009 pula akan berlangsung Syuen Grandprix di Hotel Syuen, Perak. Silalah lawati blog Perak Chess untuk maklumat lanjut.

Dan untuk Grand Finale bulan Ogos, sudah semestinya acara tahunan Malaysia Open, Merdeka Team event atau semuanya dirangkulkan menjadi Malaysian Chess Festival.

Petikan dari blog Malaysian Chess Federation:

"
The annual Malaysian Chess Festival 2009 will again be celebrated this August 2009. Entry Form for the above Malaysia Open is now available

Date : 21st - 28th Aug 2009
Venue : Bintang Ballroom, CitiTel Mid Valley
Closing Date : 10th Aug '09
Contact : IA Hamid Majid (tel +60340219576 or +60193158098) or Greg (+60129020123)"

Oleh itu, bagi semua pencatur tanahair, bermainlah dengan semangat setiakawan dan semangat juang yang tinggi. Bagi pencatur yang beragama Islam, Selamat juga menyambut bulan ramadhan dan anda masih lagi boleh bermain catur di bulan ramadhan dengan menjaga tatasusila anda, kurangkan panas baran tetapi keistimewaannya tidak batal puasa anda sekiranya anda makan PAWN, KUDA atau pun pegang QUEEN!

IM Mas Hafizulhelmi berjuang demi GM


Biarlah seutai kata seulas bicara blogku di hidangkan dengan satu kesungguhan yang luar biasa seorang pemain catur terkenal di Malaysia, malah pemain yang pernah mempunyai rating tertinggi di Malaysia, iaitu IM Mas Hafizulhelmi Agus Abd Rahman (Gambar).

Dari sumber-sumber blog catur lain, IM Mas sebenarnya seorang pemain catur yang mudah didekati malah tidak lokek untuk berbual, memberi tunjuk ajar serta sikap kesederhanaan beliau amat saya kagumi. Bukan apa, hari ini kita dapat melihat segelintir pemain-pemain catur kita suka mendabik dada, biarpun hanya sekadar boleh digelarkan 'Jaguh Kampung' di beberapa kejohanan yang kurang mendapat sambutan di kalangan pemain-pemain tersohor. Tetapi IM Mas yang kalau dilihat dari pengalaman dan pencapaiannya tidak pernah mendabik dada, malah beliau sering berusaha, bertukar-tukar pendapat, menganalisa perlawanan dengan lawannya, tanpa memikirkan ego pada dirinya.

Inilah satu faktor yang CBS merasakan beliau masih diminati dan tidak putus-putus rakan dan peminat-peminat catur tempatan memberi sokongan kepada beliau dalam usaha mendapatkan GM. Di atas kertas, IM Mas sudah pun berjaya menewaskan beberapa GM terkenal seperti GM Victor Korcnoi, GM Mark Paragua dan beberapa GM lagi dalam siri jelajahnya memburu gelaran GM. Tidak kurang pencapaian membanggakan dapat memastikan keputusan seri dengan pelbagai GM setakat ini. Jadi IM Mas sebenarnya boleh dikatakan unofficial GM di mata kaca peminat-peminat di Malaysia.

Buat IM Mas, CBS berdoa semoga suatu hari nanti usahamu itu diberkati dan dibalas dengan satu kejayaan manis bergelar seorang GM. InsyaAllah.

Salah satu permainan menarik IM Mas ketika menewaskan GM Mikhail Ulibin (dipetik dari blog Hairulov.)

Thursday, July 30, 2009

Selamat Datang Ke Dunia Blog Aku

Aku adalah seorang insan biasa yang menggemari permainan catur. Walau bagaimanapun, aku tetap dengan pendirianku bahawa catur itu bukanlah segala-galanya dalam hidupku. Maka dengan ini terhasillah blog campur aduk yang korang semua sudah semestinya akan dihidangkan dengan segala jenis berita, paparan dan cereka yang tidak semestinya berkisarkan catur. Di Malaysia, kita sudah ada banyak blog-blog catur. Aku harap kehadiranku kali ini pasti menambahkan lagi kerancakan blog-blog catur di Malaysia. Jadi selamat mengunjungi blog aku yang tidak seberapa. CHECK MATE!!